Kesihatan

8:26 AM Syafiq.Assakinnah 0 Comments

Menonton TV lama risiko pada jantung

SYDNEY: Mereka yang menghabiskan masa lebih empat jam sehari di hadapan televisyen dilaporkan berisiko tinggi untuk mati lebih awal berbanding mereka yang membataskan masa menonton televisyen.

Menonton skrin kecil bagi tempoh lama juga disifatkan tidak baik untuk jantung anda, kata satu kajian Australia yang disiarkan dalam Jurnal Persatuan Jantung Amerika.

"Berbanding dengan mereka yang menonton televisyen kurang dua jam sehari, mereka yang menonton lebih empat jam mempunyai 46 peratus risiko lebih tinggi untuk mati daripada semua sebab lain," kata penyelidik David Dunstan.

Mereka juga mempunyai peningkatan risiko sehingga 80 peratus daripada mengalami penyakit kardiovaskular, katanya.

"Duduk terlalu lama untuk tempoh yang panjang boleh menghalang badan daripada menggunakan otot dan memproses gula dan lemak dengan cukup," kata Dunstan.

Keputusan diperoleh daripada kajian selama enam tahun terhadap tabiat menonton sejumlah 8,800 penduduk Australia yang tidak membabitkan pengaruh faktor kesihatan lain seperti usia, jantina, merokok, berat badan dan senaman.

- Berita Harian -

(13.1.2010)

0 comments:

Akademik

8:26 AM Syafiq.Assakinnah 0 Comments

Rahsia Pelajar Cemerlang


Dr Tengku Asmadi Tengku Mohammad (Pakar Motivasi Alihan Pelajar) dalam bukunya yang bertajuk 13 Rahsia Pelajar Cemerlang.

Rahsia 1 :Matlamat atau Sasaran

Pelajar berjaya mempunyai matlamat dan sasaran yang jelas.Mereka tahu apa tujuan mereka belajar. Mereka tahu berapa ‘A’ yang mereka mahukan atau berapa peratus markah yang mereka mahukan. Mereka juga jelas tentang pengkhususan atau bidang yang ingin diceburi di universiti, mahupun kerjaya yang bagaimana bakal ditempuh dan sebgainya. Bagi seorang pelajar Muslim, penetapan matlamat dan sasaran adalah sangat penting. Namun matlamat dan sasaran yanag ingin ditetapkan, adalah berlandaskan kepada petunjuk dan panduan yang telah digariskan oleh Islam. Sebagaimana dinukilkan dalam hadith Nabi (SAW),

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.” [ Riwayat Al Bazzar]

Berdasarkan hadith tersebut, dapat dilihat bahawa Rasulullah telah menetapkan agar kita ummatnya, dalam agenda menuntut ilmu harus menetapkan matlamat yang jelas. Antara matlamat yang digariskan adalah untuk menjadi orang yang berilmu (memiliki ilmu), atau menjadi penuntut ilmu atau orang yang sentiasa mendengar pengajian ilmu atau akhirnya menjadi orang yang sekurang-kurangnya mncintai ilmu. Perlu difahami di sini, sebagai pelajar Muslim,matlamat menuntut ilmu adalah untuk memenuhi suruhan dan tuntutan agama agar setiap ummatnya menjadi manusia berilmu.Apabila matlamat ini telah jelas difahami dan dihayati, insyaAllah matlamat-matlamat yang lainnya akan menyusul dan mudah di kecapi.

Pelajar cemerlang sentiasa tahu matlamat hidupnya. Mereka dapat gambarkan dengan jelas siapa mereka di penghujung kehidupan nanti. Stephen Covey dalam bukunya ‘ The 7 Habits‘ ada menegaskan kepentingan memulakan kehidupan dari belakang. Maksudnya, kita menggambarkan kesudahan atau penghujung kepada kehidupan ini dan menetapkan apa yang ingin dikecapi. Bermula dari titik penghujung itu, kita bergerak sedikit demi sedikit merangka langkah-langkah atau usaha-usaha yang akan membantu untuk mereliasasikan hajat dan cita-cita di penghujungnya itu. Apakah yang dapat kita sumbangkan kepada ummat Islam seluruhnya, kepada negara tercinta, kepada masayarakat setempat, kepada sanak saudara dan kenalan, dan sebgainya. Kalau anda tahu anda mahu mengakhiri kehidupan ini dengan kejayaan, maka kejayaan yang bagaimana inigin anda kecapai. Tidak cukup dengan hanya menyatakan ‘aku ingin berjaya’, tetapi anda perlu perincikan lagi dengan jelas matlamat yang ingin dicapai.

Setelah tahu matlamat anda, maka rangkalah sasaran anda dalam pelajaran.Sasaran yang ingin ditetapkan haruslah realistik dan optimistik. Dengan erti kata yang lain, sasaran yang ditetapkan adalah tinggi tapi masih dalam lingkungan yang dapat dikecapi. Namun, dalam penatapan sasaran, jangan terlalu fikirkan sangat sama ada ianya berjaya dicapai atau tidak, sebaliknya fikirkanlah adakah anda benar-benar mahukannya. Sebab sekiranya anda mahukannya, maka dan sepastinya sentiasa akan ada jalan untuk mengusahakannya. Kemahuan yang meluap dan membara sentiasa memberikan anda tenaga tambahan dalam berusaha. Teruskan berusaha dan bertawakal kepadaNya, nescaya akan dimudahkan segala urusan pembelajaran kita.

Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. [At-Talaaq:2- 3]

Kesimpulannya:

  1. Sebagai pelajar cemerlang, penetapan matlamat amat penting dalam memandu halatuju pembelajaran seharian.
  2. Sebagai pelajar Muslim, penetapan matlamat haruslah selari dengan tuntutan agama dan syariat.
  3. Matlamat yang ditetapkan harus disusuli dengan penetapan sasaran yang akan menjurus kepada terlaksananya matlamat.
  4. Akhirnya, tawakal kepada Allah setelah berusaha membawa kepada kemudahan urusan pembelajaran (dibukakan segala peluang dari sumber yang tidak diketahui)

- Payih -

0 comments:

Artikel

8:26 AM Syafiq.Assakinnah 0 Comments

Ikhlas

Sesungguhnya. .
kebenaran TIDAK akan memimpin, kebaikan TIDAK akan tersebar, keadilan TIDAK akan tertegak, panji-panji kemuliaan akan jatuh
dengan wujudnya

orang-orang yang menggadaikan prinsip demi keuntungan dunia
dan
orang-orang yang bersifat riya’
yang hanya mahu diri mereka dilihat orang, kata-kata mereka didengar, mereka menjadi buah mulut masyarakat, dan boleh mengarahkan orang lain dengan jari telunjuk.

.

Kebenaran, kebaikan, kemuliaan HANYA akan tertegak dengan …

orang-orang yang ikhlas,
yang berpegang teguh dengan prinsip,
yang boleh mempengaruhi orang lain bukannya dipengaruhi.
Mereka adalah
orang-orang yang
berkorban bukannya mengambil manfaat, memberi bukannya mengambil.

-

0 comments:

Isu-isu Semasa

8:25 AM Syafiq.Assakinnah 0 Comments

Tok Pepijat

Kita seolah-olah sedang melihat atau menghadapi satu "game politik". Mungkin seperti satu permainan Chess (catur). Siapa sedang merancang "checkmate" ?


"Game 1 " - Kebenaran Mahkamah Tinggi penggunaan kalimah ALLAH.

" Game 2 " - Rayuan oleh KDN menangguh keputusan. Mahkamah benarkan.

" Game 3" - PM Najib benarkan demostrasi di masjid seluruh negara.

" Game 4" - IG Musa larang demostrasi.

" Game 5 " - Demostrasi oleh barua-barua UMNO seperti Pekida, GPMS, Pewaris dan Perkasa.

" Game 6" - 3 Gereja di lontar molokov coktail dan ada disimbah cat.

" Game 7" - PM Najib bagi bantuan RM500,00 untuk baikpulih gereja yang diserang.

" Game 8" - Menteri Polis Hishamudin ancam guna ISA.

" Game 9 " - PM Najib sekonyong-konyong mendakwa UMNO tidak terlibat dengan serangan ke atas gereja. Najib juga mendakwa UMNO bukanlah Parti Perkauman.

" Game 10" - Serangan ke atas Gereja masih berlaku.


Setelah isu kaum, UMNO gagal. Kini UMNO cuba "hidupkan" isu agama. UMNO menjangkakan PAS akan "menari" bersamanya dalam "game" ini.

Malangnya PAS terlebih dahulu "checkmate" melalui lawatan ke gereja yang terlibat oleh Pimpinan Tertinggi Mursyidul Am TG Nik Aziz dan Presiden TG Haji Hadi. Turut melawat Naib Presiden dan Ketua Pemuda.

Akhirnya bantuan RM500,00 oleh PM Najib umpama debu di tiup sepoi-sepoi angin. Orang bagi, kita ambil. Percaya tidak sekali-kali.

Nampaknya talian hayat yang ada pada UMNO kini hanyalah ISA.





Penggunaan kalimah “Allah”


Penggunaan kalimah "Allah" oleh penganut agama bukan Islam telah menjadi bahan polemik hangat dalam negara kita, dan ianya menjadi semakin panas setelah pihak Mahkamah Tinggi membuat keputusan memberi keizinan kepada pihak gereja Katholik menggunapakai perkataan Allah dalam bahan penerbitan mereka. Realiti kehidupan dalam negara kita ialah, kedudukan masyarakat Kristian adalah dalam lingkungan kehidupan masyarakat umum yang hidup secara bersama, khususnya masyarakat yang hidup di dalamnya umat Islam, mahu tidak mahu ianya akan menyentuh perasaan mereka, kerana perkataan Allah adalah sangat mulia di sisi umat Islam.

Apa yang menghairankan ialah, sebelum ini pengamal ajaran Kristian itu menyebut ‘tuhan’ dengan bahasa mereka masing-masing. Ada pun umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa tetap berlafaz dan menulis dengan perkataan “Allah” dari kitab suci mereka (Al-Quran). Perkataan “Allah” ini tidak diterjemahkan lagi ke dalam bahasa masing-masing, kerana perkataan Allah tidak mampu diterjemahkan ke dalam bahasa lain, dengan berpegang kepada makna asalnya dalam bahasa Al-Quran.

Persoalannya ialah, adakah ianya boleh dibenarkan begitu sahaja di atas konsep kebebasan beragama? Hakikatnya, kebebasan secara saksama seharusnya mempunyai batas sempadan yang tidak menimbulkan masalah sehingga boleh mencetuskan perkara yang boleh merosakkan hubungan sesama manusia. Jangan sampai kita ‘terbabas’ dalam mencari kebebasan. Perkara ini perlu dijawab secara ilmu, kerana umat Islam menyebut dan menulis kalimah Allah mengikut maknanya yang sebenar sehingga menjadi akidah yang menjadi asas kepada amalan mereka.

Apa yang perlu difahami ialah, adakah penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama lain itu adalah mengikut makna perkataan “Allah” yang tepat, dengan maksudnya yang sebenar dari segi bahasa Arab? Atau adakah mereka yang bukan Islam itu memakai perkataan itu dengan mempunyai maksud mereka sendiri yang tidak tepat mengikut bahasa bangsa yang menggunakannya, sehingga ianya boleh menjadi ejekan atau mengurangkan maksudnya sehingga menyentuh perasaan penganut Islam yang memuja kalimah ini? Suatu hakikat yang perlu difahami dengan terang dan nyata ialah, bahawa umat Islam di serata dunia yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bercakap berbagai bahasa pula, sedang menggunakan perkataan “Allah” mengikut maksudnya yang sebenar inilah.

Perkataan Allah disebut oleh orang Arab atau pengguna bahasa Arab yang menganut berbagai agama, sama ada penganut Yahudi, Kristian dan penyembah berhala sejak dahulu kala. Al-Quran menyebut secara jelas bahawa penganut agama-agama itu menyebut dan menulis perkataan Allah.

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya), sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?. (Surah al-Ankabut: 61)

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya? sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Surah al-Ankabut: 63)

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Surah Luqman: 25)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri". (Surah az-Zumar: 38)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui". (Surah az-Zukhruf: 9)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)? (Surah az-Zukhruf: 87)

Ayat-ayat tersebut di atas mendedahkan bahawa orang-orang bukan Islam yang menganut berbagai agama itu mengaku wujudnya Tuhan yang bernama Allah mengikut naluri dalam Tauhid Rububiyyah (adanya Tuhan Pencipta Alam) dan ianya hanya sekadar itu. Namun kepercayaan mereka sebegini tidak menepati hakikat dari makna perkataan Allah mengikut maknanya yang sebenar, iaitu supaya mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup seluruhnya.

Hari ini kita melihat mukjizat Al-Quran, apabila mereka memaksa diri untuk menggunakan perkataan Allah, pada hal selama ini mereka menggunakan perkataan yang menamakan Tuhan dengan bahasa masing-masing seperti God dan Lord; dan kalau itulah Allah mengikut kefahaman mereka maka ianya adalah tidak tepat dengan maksudnya.

Umat Islam tidak boleh memaksa kefahaman mereka yang salah ini untuk mengikut ajaran dan takrifan bahasa umat Islam, walaupun mereka percaya kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa, tetapi mereka melantik tuhan-tuhan yang lain daripadanya dengan berbagai-bagai cara. Kalangan penganut Kristian dengan kepercayaan Trinity dengan mengadakan isteri dan anak bagi Tuhan Yang Maha Esa dan Yang Maha Suci itu. Agama yang lain menambah perlantikan Tuhan mengikut kefahaman mereka masing-masing.

Mengikut ajaran Islam, perkataan Allah ialah salah satu daripada nama-nama yang banyak bagi Tuhan Yang Maha Esa (Al-Asma Al-Husna).

Imam Al-Baihaqi menulis dalam kitabnya (Al-Asma wa Sifat).

“Perkataan Allah itu ialah Tuhan Yang Maha Esa, tidak berbilang lebih dari satu dan tidak ada sekutu bagiNya (sama ada dinamakan bapa, anak dan apa sahaja). Allah mengikut bahasa Arab yang fasih dan nyata bermaksud, Dia Sahaja Tuhan, Yang Maha Esa, tidak ada lagi tuhan yang lain daripadaNya. Perkataan Allah itu daripada perkataan aL-Ilah dengan menambah al kepada perkataan asal Ilah yang bermakna Tuhan secara umum. Apabila diletakkan alif dan lam (al) menjadi yang khusus satunya yang dikenali dan diyakini benarnya, kemudian dimudahkan sebutannya dengan membuang beberapa huruf, maka disebut Allah. Penambahan al dalam bahasa Arab bertujuan makrifah (yang dikenali) secara khusus yang tidak boleh dikelirukan dengan kepercayaan salah, iaitu "berbilang tuhan”.

Al-Quran mengajar cara penjelasan makna yang sebenar, begitu juga hadith-hadith Rasulullah SAW. Penjelasan inilah yang dinamakan sebagai ‘menyampaikan dakwah’, sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Tanpa melarang mereka dari menyebut perkataan Allah, tetapi kita memberi penjelasan berdasarkan ilmu, bahawa penggunaan perkataan Allah oleh mereka yang percaya adanya sifat ketuhanan dan nama ketuhanan yang lain daripada Allah adalah tidak tepat.

Apabila Rasulullah SAW menghantar surat kepada raja-raja yang menganut agama kitab, dan disebut dalam surat perutusan itu firman Allah yang menjelaskan kepercayaan yang sebenar kepada Allah yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah". Kemudian jika mereka (ahli kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam". (Surah Ali Imran: 64)

Perutusan Rasulullah SAW mendedahkah bagaimana golongan ahli kitab (Kristian dan Yahudi) memakai perkataan yang sama apabila menyebut perkataan Allah, seterusnya dijelaskan dengan makna aqidah yang tepat secara ajaran tauhid, iaitu mengesakan Allah tanpa syirik, sama ada syirik itu melakukan upacara ibadat dengan menyembah tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, atau mematuhi hukum-hukum dan undang-undang ciptaan para ahli agama (pendita) dan pemimpin-pemimpin (arbab) yang mencipta undang-undang dan hukum yang menentang hukum Allah. Mereka telah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab yang diturunkan kepada rasul mereka sendiri, atau mengharamkan apa yang dihalalkan, atau memberi hak ketuhanan kepada ahli agama sehingga boleh mengampunkan dosa yang menjadi hak Allah sahaja.

Kesimpulannya, kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita. Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan agama mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan Allah sekadar mengubah jenama bagi melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh dizinkan sama sekali. Ini adalah kerana menyalahgunakan perkataan Allah yang Maha Suci kepada umat Islam dan bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang diamal oleh umat Islam, adalah dikira menodai kesucian dan kemurnian kalimah Allah di hadapan umat Islam.

Imam Ali K.W, menegaskan kepada mereka yang menyalahgunakan perkataan yang benar dengan tujuan yang salah, dengan apa nama sekalipun:

(Kalimahnya benar tetapi dimaksudkan dengan tujuan yang salah).

Kalimah Allah adalah paling benar, tetapi kalau menulis atau menyebut perkataan Allah laksana memakai jenama barangan untuk melariskan jualan di tengah masyarakat umat Islam, maka ianya sangat menyentuh sensitiviti umat Islam. Keadaan ini akan menyebabkan semua kalangan umat Islam yang berbeza pertubuhan (NGO), fahaman politik dan individu, bersatu untuk mengeluarkan suara hati mereka yang sangat memuliakan kalimah Allah. Suasana sebegini boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat majmuk yang ada dalam negara kita.

Al-Quran juga memerintah penganutnya supaya tidak menghina dan mencaci penganut agama lain sehingga menyebabkan mereka mencaci Allah.

Firman Allah yang bermaksud:

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-An'am: 108)

Demikianlah keterbukaan Islam terhadap kebebasan beragama dengan batas sempadan yang tidak menegangkan hubungan dalam masyarakat berbagai agama.

Wallahua’alam.


- Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang -


Saya amat insaf isu penggunaan kalimah "Allah" oleh penganut Katolik Kristian di negara ini bakal menimbulkan pelbagai reaksi buruk seandainya penganut Islam dan penganut agama lain khususnya Kristian gagal mengawal emosi dan tidak faham isunya yang sebenar.

Perasan tersebut menghantui penulis, selaku ahli Lujnah Politik PAS Pusat ketika melangkah masuk ke dewan mesyuarat, Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut pada malam Isnin, 4 Januari 2010. Silap haribulan, dalam PAS pun boleh berlaku kebrentakan.

Bermain di minda penulis adalah kesan impak dan senario, akan akibat keputusan yang bakal diambil. Berlatarbelakangkan demografi negara atau kependudukan dan pengundi yang bersifat 60-40 atau "Mixed", kesan "senjata dua mata" atau "double-edged sword" ini tidak dapat dielakkan. Ada yang suka dan menyokong dan tentunya ada yang akan kecewa dan marah.

Namun, penulis berazam dan mahukan keputusan yang bakal dicapai adalah satu yang dirumuskan dengan segala pertanggungjawabannya. Ya betul perhitungan politik yang bijak dan waras itu penting, tetapi dasar yang berdasarkan hujjah dan sandaran Al-Quran mesti jelas dan teguh dahulu.

Penulis benar-benar menarik nafas lega dengan keputusan. Keputusan lujnah telah pun diumumkan dan tentunya penulis tak boleh menceritakan apa yang yang berlaku di sebalik dewan tertutup itu untuk hampir tiga jam. Berikut adalah penulisan secara ilmiah sebagai perkongsian untuk tatapan umum.

Kerana kekangan ruang, isu ini wajar dilihat penulis dari 2 aspek penting.
i. Perspektif Al-Quran atau Hukum dan
ii. Perspektif Pentadbiran atau Perundangan dan kalau sisi pandang PAS apa yang dikatakan sebagai perkiraan Siasah Syariah atau Siasah dari kacamata Syariah atau tegasnya kesan baikburuk mengikut pandangan Syariah.

Isu ini timbul kerana pengharaman yang dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penerbitan mingguan Herald Katolik yang menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya dalam Bahasa Malaysia. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan bahawa KDN salah dalam pengharaman itu berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Saya cuba huraikan kemudian secara ringkas.

Untuk pengetahuan umum, penganut agama Kristian Katolik di Sabah dan Sarawak telah menggunakan kalimah "Allah" sejak 150 tahun lalu. Kalimah Allah juga digunakan oleh penganut-penganut Sikh Gudwara. Dalam konteks negara timur tengah dan negara umat Islam lain, penggunaan nama "Allah" oleh penganut lain, tidak menimbulkan masalah sejak berzaman.

Persoalan penting yang ummat Islam di negara ini perlu faham ialah, Apakah Al-Quran mengizinkan kalimah Allah digunakan oleh penganut selain Ummat Islam? Dan apa pula pendirian ulama-ulama besar terkini atau kontemporari terhadap isu ini, khususnya dalam konteks Islam dalam dunia kini?

Jawapan ini penting dan dapat mengelakkan isu ini dipolitikkan bahkan diekspolitasi sehingga mengeruhkan suasana perhubungan baik antara-agama dan antara-budaya.

Para Ulama kerap merujuk kepada beberapa ayat di dalam Al-Quran yang menyebutkan bahawa Allah SWT sendiri mengiktiraf, bahawa orang-orang muskrik (yang menyembah berhala) pun mengakui bahawa Allah adalah Rabb atau Tuhan yang Mencipta atau Al-Khaliq. Bermakna mereka menerima Tuhan Yang Menjadikan Semesta Alam ini (Tauhid Rububiyah). Islam secara lengkapnya dalam bab Keimanan atau Aqidah Tauhid menerima Allah selaku Pencipta (Rububiyah) dan Pentadbir/Pemberi Hukum (Uluhiyah).

Contohnya ayat dalam Surah Luqman ayat 25 : "Dan jika (Muhammad) tanyakan mereka siapa yang menjadikan langit dan bumi?", Tentu mereka akan jawab "Allah". Katakanlah "Segala Puji bagi Allah, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui".

Tegasnya mereka mengiktiraf Allah tetapi hanya dari sifat "Rububiyah"(Pencipta) dan tidak selengkapnya termasuk Allah selaku Yang Mentadbir dan Memberi Hukum (Tauhid Rububiyah).

Saya merujuk kepada pandangan dua tokoh besar ulama terkini, Sheikh Yusuf Qardhawi, penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1431H dan Sheikh Dr Wahbah Zuhaili Tokoh Maal Hijrah 1429H. Kedua-dua berpandangan bahawa penggunaan nama "Allah" adalah dibolehkan kepada penganut-penganut agama Nabi Allah Ibrahim yakni Islam, Kristian dan Judaism.

Kedua-dua berpandangan bahawa ia adalah baik untuk menjalinkan kesatuan dan perpaduan di peringkat "persaudaraan agama samawiyat", paling tidaknya. Mereka tidak mengambil sikap sempit macam sesetengah orang Islam di negara ini, bahawa Allah hanya untuk orang Islam secara eksklusif dan penganut lain tak boleh guna nama Allah atau macam suruh cari Tuhan lain pulak. Berapa banyak Tuhan yang ada? Bukankah Islam menganjurkan semua ummat manusia mengiktiraf Tuhan itu Esa atau Satu.

Perhatikan ayat di seterusnya ini. Allah sebutkan dalam Al-Quran: "....kami beriman kepada Kitab-kitab yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu, Tuhan kami dan Tuhan kamu, satu dan hanya kepadanya kami berserah diri".....Surah Al-Angkabut:46.

Bukankah lebih baik, mengikut logik akal waras, di samping hujah dari al-Quran dan kata Ulama tadi, supaya kita galakkan mereka juga menerima "Allah", walaupun Tauhid dan Aqidah mereka tak sempurna macam kita. Memanglah, itulah sebabnya mereka Kristian atau Yahudi atau selainnya.

Kalau mereka percaya macam aqidah kita tentang Allah, jadilah mereka orang Islam, bukanlah lagi Kristian dan Yahudi. Namun bolehkah kita paksa Aqidah kita itu kepada mereka? Tentunya tidak. Tidak ada paksaan dalam Islam.

Setelah mengizinkan agama lain menggunakan nama "Allah", maka yang lebih penting adalah supaya tidak menyalahgunakan nama "Allah" itu. Ini perlu diberikan peraturan dan keterangan seperti yang ditegaskan oleh keputusan PAS, supaya jangan ada yang menyalahgunakan perkatan Allah.

Hal ini juga dibangkitkan oleh bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri . Ini aspek pengurusannya atau Siyasah Syariahnya, supaya dijaga maslahahnya dan dijauhkan mafsadah atau kemudharatanya. Jelasnya begitu.

Sebenarnya, perkara itulah yang dimaksudkan dengan Perkara 11(4) dan 11(5) dalam Perlembagaan Persekutuan supaya di pihak berwajib menjaga pentadbiran kebebasan bergama supaya tidak timbul huru-hara dan ketidakstabilan dan dikekalkan keharmonian. Pada waktu yang sama agama lain tidak boleh berdakwah kepada orang Islam seperti Perkara 11 (4). Ini wajib dijaga dan perlu juga peraturan. Adakan peraturan. Jangan haramkan penggunaan nama Allah, tak selesai masalah.

Sebab itu juga keputusan PAS menekankan supaya jangan ada pihak yang terlalu agresif dan melakukan provakasi sehingga mencetuskan huru-hara dan menjejaskan keharmonian antara agama dan konflik antara kaum-budaya.

Itu saja. Mengapa sampai nak berperang? Mengapa sampai nak berdemonstrasi? Kata 1-Malaysia? Mengapa perlu menimbulkan kesangsian dan syak wasangka sehingga menjejaskan keharmonian antara agama? Siapa yang mempolitikkan isu ini?

Pada saya yang lebih penting dari memperjuangkan isu nama "Allah" itu, ialah memperjuangkan Apa yang Allah perintahkan kepada kita ummat Islam, termasuk menganjurkan kebaikan dan melarang kemungkaran termasuk membenteras rasuah, salah guna kuasa, pembaziran, membasmi kemiskinan, kezaliman dll!


- Dr.Dzulkefly Ahmad -

0 comments:

Islamic Bookmark 1431 Hijrah

10:56 PM Syafiq.Assakinnah 0 Comments









Dapatkan segera Bookmark yang amat menarik di as-sakinnah.blogspot.com
Harga juga berpatutan. Jangan lepaskan peluang sementara stock masih anda.

Harga: RM 1.50 Sekeping

Harga boleh runding. ( Bergantung kepada kuantiti yang ingin di tempah)

0 comments: